"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Thursday, 10 April 2014

KOLOSTRUM : Cecair bernilai emas.

Pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayi, cecair yang di hasilkan oleh ibu adalah kolostrum. Kolostrum merupakan cecair istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini.

Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.

SIFAT-SIFAT KOLOSTRUM :

1. Kaya dengan antibodi.
2. Terdapat banyak sel hidup di dalamnya sehingga di gelar darah putih oleh sesetengah pakar kanak-kanak.
3. Bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi.
4. Mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor).
5. Kaya dengan Vitamin A.



APA PULA KEPENTINGAN KOLOSTRUM INI? BENARKAH PANDANGAN ORANG DULU-DULU YANG MENGATAKAN INI ADALAH SUSU BASI?

Kajian telah di lakukan dan kesemua kajian bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. 

Oleh kerana ia bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan pembuangan mekonium, yang merupakan faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning).

Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi.

Di antara kandungan terpenting kolstrum adalah sejenis protein yang di namakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA). Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi dalam tubuh manusia. Ia di gunakan dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imun) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus.

SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira-kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam suus matang. Sebaliknya, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA.

Tidak di nafikan, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah.

Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (37 ml) itulah yang sebenarnya yang di perlukan oleh bayi. Sejumlah yang kecil untuk keperluan dan saiz perut bayi yang kecil.

TIPS-TIPS PENTING BAGI MEMASTIKAN BAYI MENDAPAT KOLOSTRUM YANG MENCUKUPI :

1. Meletakkan bayi kepada ibu dengan sentuhan kulit ke kulit sebaik saja bayi di lahirkan.
2. Usahakan agar bayi melekap dengan betul di payudara. Ini penting agar proses stimulasi dapat berlaku dengan lancar di samping dapat mengeluarkan kolostrum dari payudara dengan aktif. Segera dapatkan bantuan dari doktor, bidan ataupun jururawat yang bertugas jika ibu tidak mahir.

TIPS-TIPS LAIN BAGI MENJAYAKAN PENYUSUAN SUSU IBU :

1. Sentiasa susukan bayi pada bila-bila masa saja yang dia mahu.
2. Biarkan bayi bersama ibu (rooming in) dan elakkan bayi dari di biarkan di bilik bayi atau nursery ketika berada di hospital.
3. Susukan bayi dengan suus ibu sahaja dan elakkan pemberian air lain seperti air kosong, air teh, air glukos mahupun susu formula.

Sewajarnya setiap ibu haruslah memberi bayi mereka kolostrum yang sangat berkhasiat itu demi kesihatan dan pertumbuhan bayi yang tercinta. Hapuskanlah mitos-mitos yang menyelubungi kolostrum ini kerana sesungguhnya setiap ciptaan yang Allah jadikan itu adalah sebaik ciptaan untuk manusia.

Sumber : Susu ibu

No comments:

Post a Comment